Wednesday, November 2, 2011

rindu

rindu mengasak dan membelah dada, merobek setiap luka yang ada...rindu kepada bonda yang amat-amat aku cinta. rindu berteman air mata dan rintih hujan yang meruntuh jiwa. hanya hati Al-qurqn buat bekal aku untuknya...mak, terlalu pahit untuk ditelan, terlalu sakit untuk melepaskan...semoga mak berada bersama mereka yang beriman...

Thursday, October 20, 2011

sunyi dan sepi

Terasa sunyi, amat sunyi, terlalu sunyi bilamana mentari sembunyi dan malam mula menyendiri bersama bulan yang cahayanya kuning. Aku hanyalah kerdil bersama sepi, menangis di sejadah dan menadah kepada Ilahi. Cuba memujuk diri setelah waktu untuk ibu terhenti dan kembali kepadaNya dengan wajah berseri seperti meminta merelakannya pergi.

Monday, October 17, 2011

seri bonda

wangi air mawar bonda melekat pada badanku dan kekal saat aku menghantar bonda ke lahad, saat aku peluk bonda untuk berjanji bertemu di akhirat...saat aku membuka balut kafanya, saat aku menutup kayu lhunya...saat terakhir aku melihat kujur jasadnya...mukanya berseri saat terakhir aku mengucup pipinya dan air mata aku jatuh ke dahinya.

Sunday, October 9, 2011

andai...

Memandang ke luar jendala setelah hari hujan. Masih menitik malas saki di hujung atap. Serasa kuat bacaan Al-quran di musolla yang menjemput magrib. Badan terasa lemah, tidak sempat berehat mungkin petang ini. Sunyi, aku sunyi benar. Terasa kosong setiap ruang, cuba mencari tapi tidak berjumpa. Mungkin rasa itu telah lari? Atau mungkin aku yang lalai ketika ia datang? Adakah aku sendiri yang tidak pasti kerana telah lama tidak memberi masa dan ruang untuk diri sendiri? Mungkinkah? Tapi ruang dan masa amat singkat untuk aku sekarang ini, seperti sedang berlari, andai dia boleh bersabar agar aku bisa berdiri dan menguap untuk menyedup udara dinihari dan setelah bonda mukanya berseri...andai...

Thursday, September 29, 2011

muncul abadi atau sementara hati?

sejak beberapa hari, seperti bertemu semula rasa yang telah lama tertinggal, namun masih jangal walau hati amat mendesak. ingin aku meneruskan tapi seperti bermain tarik tali. ingin sekali aku mengenali tapi masih tidak berdaya kerana kepercaya dia terhadap aku masih lagi kabur barangkali...semoga Tuhan merestui.

Thursday, September 15, 2011

pure love

Rindu bertandang sambil kenangan mengasak kotak fikiran dengan tusukan-tusukan tajam wajahnya yang selalu senyum nakal. Terasa hati digigit dengan rakus dengan setiap imbauan sejarah yang masih terasa segar benar seolah baru berlalu semalam. Lembaran lama masih lagi mengulang-ulang seperti tidak mahu mengalah dan tidak ingin membenarkan hari ini untuk meneruskan sisa-sisa hati yang masih ada, yang belum menjadi debu dan hanyut bersama air mata. Aku bermimpi engkau terlena dan aku berada disisi mu, menemani malam mu. Hangan nafas mu membaluti tubuh ku, ku ingin kau tahu bahawa hidup ini tidak bermakna tanpa mu. mikham tane ghashangeto, bezary ta hamisheh...

Wednesday, September 7, 2011

masa diriku

Malam terus berlalu, tiada hujan, Cuma angin panas menghangatkan malam. Aku mengepulkan asap rokok di pangkir, mengintai bintang dilangit yang tidak berbulan. Mungkin anak bulan masih malu dan bersembunyi dibalik awan. Hanya ternampak kelawar yang kadang-kadang menangkap serangga. Entah putung keberapa aku sudah tidak terkira, hanya bunyi belalang menyanyi ditepi rumah. Aku panas, tidak berbaju hanya berkain pelikat, aku pakai singkat-singkat agar dapat ku rasa angin yang malu-malu bertiup. Banyak beban yang aku pikul terasa tidak tertanggung. Ini hanya masa aku menjadi diri sendiri, tidak ketawa untuk sesiapa, tidak menghiburkan dan tidak terhibur. Apa yang aku pikul, aku fikirkan masa ini. Esok tiada lagi, kerana aku perlu senyum, bergurau dan melupakan setiap masalah, perlu menghiburkan dan terhibur. Malam esok belum tentu aku punyai masa seperti ini, masa untuk diri aku sebetulnya.