Thursday, December 3, 2009

jujuran singkat hidupku...

Pagi itu nyaman...
Kenduri di rumah sebelah menenggelamkan jeritan ibu beranak tiga dalam kesakitan melahirkan putera laksamananya...anak ke-empat, putera ketiga. Seusai solat subuh, si suami bergegas menjemput ibunya yang juga seorang bidan, kerana isterinya sedang tertarung dengan maut untuk melahirkan puteranya. Seingatnya, hari khmis, 24 oktober 1985, dia terpaksa mengambil cuti menemani isterinya.
Pagi itu, putera yang cerah kulitnya, ikal rambutnya, telah berjanji dengan Tuhan semasa di alam roh untuk mentaati janji Tuhan. Lahir dengan tangisan, disambut laungan azan. Anak ini kecil kata nenek, moga besar jiwanya.
Membesar dia atas belakang kakak, lasak diperlakukan oleh abang-abang, dia tidak mengerti apa-apa. Seingatnya, tepi rumah dipenuhi ubi kayu. Memanjat belakang lembu, dijadikan kuda, jatuh, menangis, dan memanjat kembali. Tanah tepi sungai dijadikan peluru, bertempur bersama sepupu. Pokok mangga dan rambutan di depan rumah, dipanjat, bergayut, mengambil anak burung. Jatuh lagi, menangis lagi...tidak patah semangat, terus memanjat.
Hari berganti, adik perempuan dan adik lelakinya membesar bersama. Enam kesemuanya. Dua abang, satu kakak, bersama, membesar, dalam suka duka.
Berpisah dengan ayah, tiada apa-apa, kerana ayah selalu ada. Bermulanya hidup susah, tapi dia tidak mengerti apa-apa. Berjalan ke sekolah, jatuh dari basikal sepupu, dia lebih kuat, parut-parut mematangkannya.
Dari telaga ara, ke gunung, terus ke kuala Terengganu. Balik ke kota bharu, kembali ke gunung, akhir sementara di bangi. Perjalanan sejauh itu, tapi belum tamat. Memberinya sedikit ilmu, benyak pengalama hidup. Jatuh bangun, fizikal dan mental, perasaan dan jiwa, juga cinta.
Akhir zaman remaja, awal zaman dewasa, ilmu tak lengkap dan masih mencuba. Fahamkan diri, mencari yang hakiki, untuk berdiri menjadi pemimpin. Pemimpin untuk diri, keluarga, masyarakat dan agama yang dicintai.
Cinta? Cinta datang dan pergi, tinggal guris-guris di hati. Hidup tidak selalu indah, jatuh bangun, gelap dan cerah, hitam pasti ada setelah putih terserlah. Pasti ada...hitam...bukan sekali tapi berulang. Kembali dan kembali...
Jatuh tersungkur, menyembah bumi, seperti Izrail cuba mencabut roh yang cuba bersembunyi. Sesekali terfikir, untuk menyerah, menyenangkan kerja Izrail. Terasa ingin mencium bau bumi, tempat asal lagi hakiki, ingin mendekati lahad, tempat menunggu untuk diadili.
Hanya kerana perempuan? Bukan kerana perempuan tapi kerana cinta kepada ALLAH, dia selitkan cinta itu bersama cinta sesama insan. Insan yang diimpikan untuk menemani dalam menempuh dunia, mencari bekalan untuk kesana...akhirat...tempat penamat.
Kali pertama, dia laungkan, ‘aku pulang tanpa dendam, ku salutkan kemenangan mu’...dia tidak mengerti, kenapa untuk kesekian kali, mesti ada lagi? Kenapa? Bukan jawapan yang dicari, tapi soalan yang diberi...kenapa perlu ada pertemuan jika akhiran perpisahan yang menanti...yang memaksa hati lebur, hancur seperti kaca berkecai di lantai,terus lebur di dalam relau jiwa dan tiada yang peduli. Sembunyi...ALLAH...ALLAH pasti mengerti. Ada rancangan yang pasti disembunyi...kerana DIA Maha Mengetahui...
Seksa itu cabaran, lara itu dugaan, semua itu ujian...dia yakinkan diri, pasti ada ganjaran. Adakah ganjaran yang diimpikan? Atau sekadar untuk memujuk hati yang lara dimakan seksa?
dan aku pasti semua ini akan bersambung...
dan terus bersambung...
selagi hayat masih ada,
selagi nadi-nadi masih berdenyut,
selagi izrail belum memanggil.
selagi itu kisah hidupku akan bersambung
dan aku akan terus berlakon dan memegang watak,
dalam cerita yang ditentukan Tuhan
seperti yang telah tercatat dalam luh-mahfuz

bila rindu berhenti berzikir...

Cerita sebelum pertemuan dan cerita selepas pertemuan adalah berbeza,
Bermacam-macam...
Cerita selepas pertemuan dan cerita sebelum perpisahan juga pelbagai...
Ada yang bahagia, ada yang derita...
Jika cinta dan kasih sayang itu manis, ia adalah kebahagiaan...
Tapi sekiranya cinta dan kasih sayang itu pahit...
Adakah ia sebuah duka?
Satu derita?

Namun, hakikatnya, apakah yang lebih indah daripada cinta suci?
Apakah yang lebih mulia daripada pengorbanan murni?
Aku juga pernah berkorban...
Telah berkorban...
Sedang berkorban...
Dan akan terus berkorban...

Dan dengan itu, aku ingin memberitahu dunia, bahawa sesunggunya...
Cinta suci-NYAlah yang wajib kita cari...

Bersatu atau tidak, cinta tiada akhiran...
Ia mendatangkan dua rasa, suka atau duka...

Aku cinta padamu...
Betapapun engkau bukan milikku...