Wednesday, December 22, 2010

burung sita dan ayam-ayam

November dan disember berlari bersama hujan juga bersama burung sita dan ayam-ayam. Si mata merah galak bermain dicelah-celah renek pepohon dan si coklat gembira di sawah. Agak lama aku tidak mengejar sita dan menari bersama pacat. Pagi itu aku turun lagi sebagai anak kecil yang mengejar si mata merah bersama mereka yang bergelar ayah. Bersama membuat bising dan pohon-pohon renek dilibas-libas untuk menghalau sita yang bersembunyi masuk ke bubu yang telah diletak dihujung semak sana. Seekor terbang cuba lari dan terus aku terkam seperti menerkam bola yang yang cuba membolosi gawang. Ada lagi bakat lama yang belum padam. Semua qiam, menanti aku membuka genggam dan seekor mata merah menjerit dan mengigit jari aku dan sedikit berdarah namun aku puas. Pagi itu, 7 ekor sita berjaya aku peroleh. Petangnya membonceng motor bersama ayah ke sawah. Aku galas senapang patah bersama peluru bersaiz 12. Membidik ayam-ayam yang terbang rendah apabila disergah. Pulang bergalas 5 ekor ayam-ayam untuk menari bersama sita nanti. Kenangan cukup indah andai dapat dikongsi.

No comments:

Post a Comment