Sunday, September 19, 2010

5 abjad

Cinta? Sudah lama aku tidak berbicara tentang cinta dan ada yang menganggap hati aku ini sekeras batu kerikil yang menghiasi tepi jalan, menjadi asas kepada lebuhraya sebetulnya, dan oleh sebab itulah ia keras dan degil dan tak mampu menerima cinta lain selain cinta yang pernah bertapak,berakar dan mekar serta layu di dalam hati ini.

Bukan senang untuk bercinta, mencintai dan dicintai...bukan semudah dengan hanya melafazkan dan jauh sekali untuk menzahirkan. Cinta adalah anugerah ALLAH yang mengisi hati,jantung dan menjadi penawar serta racun.

Apa yang aku bicarakan di sini adalah cinta sesama insan, antara manusia. Aku beranggapan bahawa cinta antara manusia itu akan lahir setelah kita mencintai ALLAH, dan dengan itu, akan lahir cinta luhur yang mengikat dua jiwa.

Usia remaja makin meninggalkan aku dan dewasa makin menjenguk. Perasaan cinta itu mula dapat ku kawal agar ia tidak rakus, tidak membinasakan jiwa serta raga yang pernah rapuh bila berhadapan dengan cinta. Semua yang berlaku mematangkan dan mendewasakan.

Ingin aku khabarkan kepada dunia, bahawa bersatu atau tidak, cinta tiada akhiran, ia mendatangkan dua rasa, suka atau duka. Dan setelah itu, semua bergantung kepada kita, hamba yang dikurnia akal serta nafsu, dibekalkan dengan al-quran serta hadis dari kekasih-NYA yang sengaja diutus untuk menunjukkan jalan kepada kita yang pernah buta.

No comments:

Post a Comment