Wednesday, October 20, 2010

kerabu terung, kerutub daging

Emak mengupas kulit terung lalu mencelur sehingga lembut. Kelapa yang telah siap diparut,aku ramas-ramas dan ku ambil santanya seperti yang diajar emak. Ikan yang telah siap direbus,ambil isinya dicampur bersama santan,sebati dengan bawang merah,lada hitam serta beberapa rempah yang telah ditumbuk halus lalu emak meneruskan proses semuanya hingga menjadi kerabu.
Aku sibuk memotong ayam dan bersihkannya. Kunyit hidup yang telah siap ditumbuk bersama sedikit bawang putih dan beberapa rempah rahsia emak,aku lumurkan kepada ayam. Minyak yang telah lama memanggil dengan asap putih itu dihadiahkan ayam tadi lalu bersatu sehingga ayam bertukar menjadi kekuninggan. Aku puas lalu aku angkat.
Sementara sedikit minyak untuk menumis telah dipanaskan di dalam periuk. Kata ibu untuk membuat kerutub daging. Rempah kerutub ditumis, wangi lalu dimasukkan sedikit santan agar tidak hangus. Minyak muda telah mula kelihatan, aku memasukkan daging lalu digaul hingga sebati. Seingat aku, ini sama seperti yang diajar ayah untuk membuat gulai kawah. Setelah itu dimasukkan santan dan kemudian kentang sebagai permodenan mengikut semasa. Dulu tiada kentang jawab ibu. Hampir masak, lalu ibu masukkan perisa, garam dan asam semestinya.
Setelah siap semuanya, aku hidang untuk orang tersayang yang kini telah hilang...

No comments:

Post a Comment